Pandangannya mulai kabur. Ada airmata yang bergenang di tubir matanya yang kuyu. Pantas airmata itu diseka tanpa sempat ia menuruni cerun pipi yang agak cengkung itu. Aliya tewas dengan mainan perasaannya sendiri. Dia tahu, dia tidak mampu hidup bersendirian. Biar apapun yang berlaku, dia terpaksa merelakan perpisahan ini demi kebaikan dirinya sendiri dan juga insan yang amat dikasihinya. Azri hanya diam, tertunduk dan sesekali melepaskan keluhan yang amat berat dirasakannya. Dia tahu, Aliya terpaksa namun dia tidak mampu memenuhi permintaan gadisnya itu. Perpisahan, itu yang dipinta oleh Aliya. Azri sama sekali tidak pernah memikirkan soal perpisahan malah sering menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Aliya setelah semua masalah selesai. Tetapi kini, Aliya sedang cuba untuk merobohkan tembok kasih sayang mereka. ‘ Tidak..’Jerit hati Azri. Perlahan-lahan Azri menggenggam erat jemari Aliya. Dia tahu gadisnya itu sedang berperang dengan perasaan sendiri. Biarpun Aliya tidak membalas tautan jari-jemarinya, Azri tahu apa yang tersirat di hati kecil gadisnya itu. Gadis itu terlalu menyintai dan menyayangi dirinya. Azri memerhatikan wajah suram milik Aliya yang sedari tadi kaku tanpa bicara. Bibir kecil milik Aliya terketar-ketar, mungkin menahan gelora perasaan hiba yang tidak terhingga. Dan Azri, masih setia menggenggam erat jemari runcing milik Aliya.
“ Liya..Liya pasti dengan keputusan Liya ni?” Soal Azri setelah sekian lamanya mereka diam melayani perasaan masing-masing. Pertanyaan Azri membuatkan airmata Aliya kian laju menuruni cerun pipinya yang mulus. Azri diserang perasaan bersalah.
“ Liya, maafkan abang. Abang tak berniat untuk membuat Liya bersedih. Liya, abang pernah berjanji, abang takkan tinggalkan Liya. Abang cintakan Liya setulus hati abang. Tolonglah, beri abang peluang. Abang janji, abang akan bahagiakan Liya, sayang.” Kata-kata Azri mati disitu, perasaan hiba menular di segenap ruang dadanya. Aliya mengesat sisa-sisa airmata di pipinya dan melepaskan satu keluhan yang kedengarannya amat berat dicuping telinga Azri. Aliya mengumpul sepenuh kekuatan untuk meluahkan apa yang tersirat di buku hatinya.
“Abang, pertama sekali Liya minta maaf. Liya buat semua ni untuk kebaikan kita, bang.” Ujar Aliya, hiba.
“ Kebaikan? Kebaikan apa yang Liya maksudkan ni? Abang tak nampak apa-apa kebaikan pun dengan keputusan yang Liya buat ni. Kenapa Liya tergamak menghukum abang sekejam ni? Apa salah abang, Liya? Apa salah abang?” Azri bersuara sedikit tegas. Dia sebenarnya tidak faham mengapa Aliya bersikap sedemikian. Aliya yang dikenalinya sejak dua tahun yang lalu adalah seorang gadis yang manja, ceria, yang terlalu mengambil berat tentang dirinya dan yang pasti, terlalu mengasihinya. Azri hampa, dia merasakan dirinya tidak lagi diperlukan oleh Aliya. Mungkin Aliya sudah bertemu pengganti dirinya. Azri bingkas bangun, ingin berlalu dari situ. Pautan Aliya dilengannya menghalang langkah kaki Azri dari meninggalkan tempat yang telah merakamkan memori duka mereka berdua sebentar tadi.
“ Abang, percayalah. Liya buat semua ni untuk kebaikan kita. Liya tahu Liya mengecewakan abang tapi Liya janji, takkan ada lelaki lain dalam hidup Liya selain abang. Liya janji, bang. Lepaskan Liya, itu saja yang Liya pinta dari abang. Andai ada jodoh antara kita satu hari nanti, Liya akur, bang. Untuk seketika, biarlah Liya bersendirian. Liya doakan kebahagiaan abang walau dimana saja abang berada. Maafkan Liya. Liya pergi dulu, bang. Assalamualaikum..” Aliya pantas berlari meninggalkan Azri yang masih didalam keadaan tertanya-tanya.
“ Aliya….” Jeritannya mengejutkan seisi dewan kuliah. Kuliah yang hampir tamat itu yang sedari tadinya gamat dengan diskusi menjadi sunyi sepi dek jeritannya.
“ Is everything okay, Azri?” Soal Professor Matthew, lelaki berusia lingkungan 50an itu melihatkan keadaan Azri yang terpinga-pinga bagaikan baru tersedar dari mimpi. Azri sekadar membisu dan pantas meminta kebenaran untuk keluar dari dewan kuliah itu. Hari ini, genap empat tahun Aliya meninggalkan dirinya tanpa sebab yang pasti. Dan kerana kekecewaan itulah dia terlontar di bumi asing ini, di Australia, meneruskan pengajian dan mengubat hatinya yang luka. Sehingga hari ini, tiada khabar berita tentang Aliya. Azri tewas, dia menangis lagi. ‘ Aliya, kembalilah, sayang. Abang tak mampu hidup tanpa Liya…’ Jeritan batinnya membuatkan lelaki itu semakin hiba dan pilu.
…………………………………………………………………………………………………………………………………....
Aliya masih di perpustakaan, mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir semester pada minggu hadapan. Peperiksaan yang akan menentukan masa depannya. Kehidupannya kini jauh berbeza, apatah lagi di bumi orang yang terlalu asing bagi dirinya. Keputusan untuk menyambung pelajaran ke Australia mendapat tentangan yang hebat dari bapanya namun dia tetap berkeras. Masih terngiang-ngiang kata-kata bapanya disaat dia meluahkan hasrat untuk berhijrah ke Australia.
“ Papa tak benarkan Liya pergi ke sana. Kenapa mesti Australia? Di Malaysia ni kan banyak universiti yang tak kurang hebatnya. Keputusan papa tetap sama, papa tak benarkan.” Wajah Datuk Hamidi merah, menahan marah yang teramat sangat.
“ Papa, Liya minta maaf. Aliya tak bermaksud nak melawan cakap papa, dan selama ni Liya akur dengan setiap keputusan papa. Tapi kali ni, benarkan Liya buat keputusan untuk hidup Liya.” Aliya bersuara dengan nada yang agak tegas. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya yang kian memberontak dari hari ke hari. Datin Aznah berasa hiba yang teramat sangat. Selama ini Aliya tidak pernah menolak apa sahaja yang dipinta oleh bapanya. Dia tahu anak gadisnya itu sudah matang. Datin Aznah sudah tidak mampu berdiam diri lagi. Dia mengumpul kekuatan sedalam-dalamnya.
“ Abang, dah la tu. Biar la budak tu dengan keputusannya. Dulu abang putuskan hubungan dia dengan budak Azri tu, ada ke dia merungut, melawan cakap abang? Saya bukan nak memenangkan dia tapi cuba lah abang fikirkan kebahagiaan dia. Bukankah kebahagiaan dia tu kebahagiaan kita juga, bang?” Datin Aznah melepaskan jua apa yang tersirat di buku hatinya. Dia tidak sanggup lagi melihat kesengsaraan yang dialami oleh anak gadis kesayangannya itu. Hidup Aliya sentiasa bertemankan airmata semenjak terpaksa berpisah dengan Azri. Datuk Hamidi terduduk di sofa. Dia menarik nafas yang panjang lalu bingkas bangun dan berlalu dari ruang tamu banglo tiga tingkat yang tersergam indah di kaki bukit itu.
“ Hey Liya, what’s up? “ Sapaan Paige, teman sekuliahnya mematikan lamunan panjang Aliya. Gadis genit yang berasal dari Toronto itu melemparkan senyuman yang manis kepadanya. ‘ Patut la si Edward tu tergila-gilakan mat saleh, oppss minah saleh ni..manis betul senyumannya..’ Aliya tersengih, nakal.
“ Hey, i’m asking you. Why are you smiling like that? “ Ujar Paige lagi melihatkan Aliya yang sekadar tersenyum tanpa bicara.
“ Nothing, dear. Where’s Edward? “ Aliya memusingkan kepalanya ke kiri dan kanan, mencari-cari kelibat Edward, teman lelaki Paige yang juga merupakan kerabat diraja Denmark.
“ Oh..He’s not with me, Liya. He got some assignment to be done by today. Have you had your lunch?” Paige melemparkan senyuman yang manis kepadanya. Aliya masih lagi termangu memikirkan tentang gadis itu. Betapa bertuahnya Paige, mempunyai teman lelaki yang bakal dinobatkan sebagai raja selepas menamatkan pengajian nanti dan yang paling penting, lelaki itu terlalu menyintai dirinya serta sanggup melakukan apa sahaja demi gadis itu. Terdetik di hati Aliya, alangkah bahagianya jika Azri masih lagi bersamanya ketika ini. Tiba-tiba Aliya berasa hiba. Sudah lama dia tidak mendengar perkhabaran dari lelaki itu. Lamunan Aliya mati disitu apabila lengannya dicubit oleh seseorang.
“ Ouch..aduh, sakitnya.” Dia menyeringai kesakitan. Suraya, gadis jurusan Kesusasteraan Inggeris yang berasal dari Singapura itu melabuhkan punggungnya dihadapan Aliya. Dia tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapat. Gadis berkulit putih mulus itu tampak ayu dengan selendang bercorak abstrak yang terlilit dikepalanya.
“ Liya, kau ni banyak berangan la. Cuba kau ceritakan kat aku apa yang kau angankan tadi? Berangan nak kahwin dengan anak raja ke? “ Suraya ketawa dan Paige sekadar tersenyum, tidak mengerti apa yang dituturkan oleh Suraya.
“ Banyak la kau. Ingat aku ni macam kau ke? “ Aliya memulangkan paku buah keras. Sebenarnya didalam diam, Suraya menyukai Edward dan semestinya dia tidak menyenangi kehadiran Paige disitu. Paige yang menyedari akan hal itu pantas meminta diri untuk pergi dari situ. Aliya dan Suraya sekadar memerhatikan Paige berlalu pergi dan mereka lalu bangun dan terus menapak ke kafetaria yang terletak tidak jauh dari situ.
“ Eh, Liya. That’s Paige and Edward, right?” Suraya bersuara tiba-tiba. Aliya memusingkan kepalanya kearah yang ditunjukkan oleh Suraya.
“ Oh..Yeah, why? “ Soal Aliya, hairan dengan riak wajah Suraya yang berubah dengan tidak semena-mena.
“ Nothing la. Just..hemm..tak ada apa-apa lah..” Kata-kata Suraya mati disitu. Suraya pantas bangun dan berlalu pergi dari situ membuatkan Aliya terpaksa berlari mendapatkannya.
“ Su..Suraya..Kau ni kenapa? Tadi cakap nak makan. Penat aku berlari dapatkan kau. Dah la aku lapar ni. “ Aliya bersuara, tercungap-cungap.
“ Hilang selera aku tengok diorang tu. “ Aliya mengerti siapa yang Suraya maksudkan. Sudah pastinya Paige dan juga kekasihnya, Edward.
“ Hey Su, listen. Kau tak sepatutnya ada perasaan macamtu tau. Kesian si Paige tu. Dia kan kawan kita. Takkan kau nak aku gelar kau kawan makan kawan? Biar la diorang dengan hidup diorang. Kau tu, jual mahal sangat. Si Mukhlis tu tergila-gilakan kau, kau tak nak pulak.” Aliya tersenyum penuh makna.
“ Mukhlis tu bukan anak raja. “ Terhambur tawa Aliya dengan jawapan yang Suraya berikan. Suraya menjeling tajam kepada Aliya dan satu cubitan hinggap di pipi mulusnya.
“ Kau ni Su..harap muka je lawa tapi macam budak-budak.” Suraya mencebikkan bibirnya.
“ Su, bersyukurlah dengan apa yang Tuhan kurniakan kepada kita. Harta dan pangkat tu belum tentu dapat menjamin kebahagiaan kita tau. Walaupun Mukhlis tu bukan anak raja, tapi dia ikhlas nakkan awak. Ingat Su, apa yang penting dalam sesuatu perhubungan tu ialah perasaan dan kejujuran, bukannya harta dan pangkat.” Ada airmata yang bergenang di tubir mata Aliya. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak. Walaupun sudah empat tahun berlalu, dia masih tidak dapat melupakan Azri.
“ Erm..Liya, temankan aku pergi beli buku ya.” Pinta Suraya dengan wajah yang penuh mengharap. Aliya sekadar mengangguk.
…………………………………………………………………………………………………………………………………....
Ruang legar Queen’s Mall di tengah-tengah bandaraya Sydney kelihatan sibuk dan padat dengan orang ramai yang berpusu-pusu menyusup masuk ke kompleks membeli belah empat tingkat itu. Aliya dan Suraya terus menapak ke ruang legar ‘Book Fair’ yang diadakan selama sebulan di kompleks itu. Mereka masing-masing leka memilih buku dan juga novel-novel yang terdapat disitu. Tiba-tiba, Aliya terpandang seraut wajah tenang, wajah yang amat dirinduinya. Dua pasang mata bertemu.
“ Ya Tuhan..” Lafaz Azri. Bibir Aliya terketar-ketar, tidak tahu apa yang harus diluahkan. Ingin tubuh itu dipeluknya erat namun dia terasa dirinya kaku. Azri lantas mendekati Aliya.
“ Aliya sihat?” Tanya Azri. Airmata Aliya sudah tidak dapat dibendung lagi. Wajah dan suara itu terlalu dirinduinya. Dia menangis lagi. Genggaman erat Azri dibahunya membuatkan jiwa wanitanya semakin hiba.
“ Maafkan Liya, bang. Maafkan Liya.” Hanya itu yang mampu Aliya luahkan. Azri pantas menarik tangan Aliya, keluar dari kesibukan itu. Dia membiarkan Aliya menangis dan hanya mampu mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana telah menemukan mereka di bumi asing ini. Azri hanya memerhatikan Aliya yang masih lagi menangis, mungkin melepaskan perasaan yang tersimpan selama empat tahun.
“ Liya sihat?” Soal Azri setelah gadis itu sedikit tenang. Aliya sekadar mengangguk.
“ Dah lama kat Australia?” Soal Azri lagi. Aliya sekali lagi mengangguk dan masih mendiamkan diri.
“ Liya dah tak sudi bercakap dengan abang lagi? Abang rindukan suara Liya.” Soalan terakhir itu membuatkan Aliya sedikit tersentak. Jemari Azri pantas digenggamnya, erat.
“ Abang sayangkan Liya, cintakan Liya sepenuh hati abang. Masih ada ruang lagi di hati Liya untuk abang?”Soal Azri penuh pengharapan. Sekali lagi dua pasang mata bertaut.
“ Liya cintakan abang. Jangan tinggalkan Liya lagi. Liya tak sanggup hidup tanpa abang.” Hati Azri tersentuh dengan apa yang diucapkan oleh gadisnya itu.
“ Abang tak pernah berniat nak tinggalkan Liya. Abang sendiri pun tak faham maksud Liya dulu. Berpisah untuk kebaikan. Tapi alhamdulillah, papa Liya hubungi abang dua tahun yang lalu. Dia dah ceritakan segalanya, sayang. Abang dah faham berpisah untuk kebaikan yang Liya maksudkan tu.”Azri merenung lembut wajah Aliya. Aliya tetap cantik seperti dulu.
“ Maafkan Liya, bang. Liya terpaksa.” Aliya pantas memeluk tubuh Azri. Dia teringat kata-kata bapanya dulu, keluarga Azri tidak setaraf dengan keluarga mereka. Hatinya bertambah sedih.
“ Sudahlah, sayang. Abang dah lupakan semua tu. Sekarang ni, abang nak Liya hubungi papa dan cakap yang Liya dah jumpa abang.” Azri tersengih, manja. Aliya melemparkan senyuman yang paling manis dirasakan oleh Azri, senyuman yang mengganggu malamnya selama empat tahun.
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Kini, sudah hampir lapan bulan peristiwa itu berlaku. Azri dan Aliya sudah mampu mengukirkan senyuman bahagia. Kepulangan mereka ke tanah air pada minggu hadapan bakal disambut oleh kedua-dua belah pihak keluarga. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha, hubungan suci mereka akhirnya mendapat restu oleh keluarga. Segala apa yang telah berlaku adalah ketentuan Yang Maha Esa dan berkat kesabaran, kebahagiaan yang dicari akan tetap menjadi milik setiap insan. Sesungguhnya, pengalaman, cabaran dan dugaan yang diberikan oleh Tuhan kepada hambaNya adalah untuk mematangkan lagi fikiran.